Gaya hidup dan Pergaulan
Halus gerakan jari-jemari kecil di suatu tempat yang sangat rahsia. Saat dan detik berputar tiada henti, akhirnya terdengar jua teriakan anak kecil dari ruangan wad bersalin. Nafas pertama dihirup, namun langsung tiada mengenal dan mengetahui apa yang berlaku pada dirinya. Mungkin hanya dapat merasai belaian mesra dan ciuman dari insan bernama ibu.
Menginjak alam kanak-kanak, diajar ibu bagaimana untuk mengeja, di didik ayah bagaimana jua mahu mengaji. Hasil pengajaran ibu ayah kini anak itu mampu petah berpidato dan mengalunkan ayat Al-Quran dengan sungguh merdu.
Namun terdengar pula keretakan rumah tangga di rumah sebelah. Bapanya haluan lain, ibunya pula haluan lain. Anak itu menangis hanya kerana kelaparan. Mereka sibuk mengejar harta dan pangkat, terbiar anak itu tanpa belaian dan didikan yang sewajarnya. Akhirnya membesar dan dikenali masyarakat dengan seorang pencuri dan penipu.
Teringat pula pada hari pertama persekolahan, baru mengenal seorang rakan yang dikira sebaya. Mereka duduk bersebelahan. Bertanya khabar, lokasi rumah dan sebagainya. Pulang ke rumah mengadu segalanya pada ibu. Ibu hanya tersenyum dan memberi nasihat untuk belajar sebaiknya.
Semakin hari bertambah rakan, mengenal pula insan berlainan jantina. Perasaan lain muncul entah dari mana. Namun atas nasihat ibu, menjaga setiap tingkah laku dan percakapan. Sentiasa berhati-hati dalam pergaulan, tidak melampaui batas. Sehinggalah beberapa tahun, mencapai kematangan dan mampu menjadi imam ketika solat berjemaah. Tambahan pula berani mengucapkan kalam-kalam yang benar dihadapan khalayak ramai.
Menjeling pula rakan yang pertama sekali dikenali, dahulunya baik bicaranya, tetapi kini tiada terjentik hatinya apabila melawan cakap guru. Memang benar dia paling tampan di sekolah. Mudah dikelilingi wanita yang terpesona dengan keindahan wajahnya. Manis bibirnya apabila berbicara membuatkan hati-hati hawa yang umpama coklat cair dimamah kepanasan. Akhirnya tidak mahu bertanggungjawab atas zuriat yang dilahirkan. Menangis bayi itu di tempat pembuangan sisa-sisa makanan. Alangkah sayunya hati yang melihat.
Rasulullah menjadi pedoman hidupnya, setiap langkahnya di muka bumi ini diniatkan hanya untuk Allah. Kini anak kecil hasil didikan baik dari ibu ayah itu, baru sahaja menyarung cincin pernikahan pada jari manis isterinya yang solehah. Selain menjadi suami yang baik, bapa yang penyayang, pemimpin yang berwibawa juga menjadi pendakwah yang berkarisma. Sebaliknya rakannya tadi hanya mampu termenung mengenang nasib diri didalam jeriji besi. Anda pula bagaimana?
(350 patah perkataan )
Mohd Shukri bin Suliman
Tahun 2 Universiti Iskandariah
Hadis Ke 3 Daripada 40 Imam Nawawi
-
http://www.youtube.com/watch?v=dlfhoU66s4Y&feature=related
2 days ago
0 Apa Anda Rasa?:
Post a Comment